Friday, August 13, 2010

Mati Otak & Pendermaan Organ (1)

Apakah yang dikatakan mati otak?

Mati Otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu bahagian otak yang mengawal aktiviti-aktiviti kehidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.
Keadaan yang menyebabkan otak mati

Bagi segelintir pesakit, kematian otak boleh terjadi dahulu sebelum denyutan jantung mereka berhenti. Ini mungkin terjadi apabila pesakit itu mengalami koma akibat keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan berikut dan telah mendapat rawatan bantuan pernafasan mesin (ventilator) seperti di unit rawatan rapi:
  • Kecederaan otak yang menyebabkan bengkak otak atau pendarahan dalam kepala yang teruk;
  • Pendarahan otak yang teruk secara spontan oleh kerana urat saluran darah ke otak yang terputus akibat darah tinggi atau saluran darah yang tidak normal (Arterio-venous malformation atau AVM);
  • Strok (angin ahmar) teruk yang melibatkan seluruh otak kerana saluran  darah yang tersekat oleh darah beku. 
Seseorang yamg mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan  yang lain. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika.
Walaubagaimanapun denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walau dengan sebanyak mana sokongan yang diberi. Apabila seseorang itu telah disahkan kematian otak, bermakna dia telahpun meninggal dunia.

Bagaimanakah pesakit disahkan mati otak?

Mati otak adalah satu cara bagaimana seseorang itu boleh disahkan mati. Pengesahan mati otak adalah dibuat oleh dua orang doktor pakar yang tiada kaitan dengan pemindahan organ setelah ujian-ujian tertentu dijalankan ke atas pesakit tersebut. Ujian-ujian ini dilakukan 2 kali setelah beberapa jam pemerhatian untuk menentukan tidak ada perbezaan yang dilihat.

Mati otak dan pendermaan organ


Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan otak ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang mengalami mati otak tersebut.

(maklumat di atas diperolehi dari brochure "Mati Otak & Pendermaan Organ" yang diterbit oleh Kementerian Kesihatan Malaysia)

Dalam artikel seterusnya, blog ScienceRunchang akan memberi penerangan tentang persoalan mengenai mati otak dan pendermaan organ.

________________________________________________________________


Sehingga 1 Julai 2010
Jumlah Pendermaan Organ Sebenar = 294  orang
Jumlan Pengikrar Pendermaan Organ = 144,800 orang

Tahun 2010 (Jan-Jun)
Jumlah Pendermaan Organ Sebenar = 23 orang
Jumlan Pengikrar Pendermaan Organ = 6,379 orang

2 comments:

  1. Cikgu-cikgu dijemput memberi comment di sudut ini.

    ReplyDelete
  2. Pemidahan organ yang secara haram memang berisiko tinggi, info dalam web kamu bagus...

    ReplyDelete