Saturday, August 14, 2010

Pendidikan Seks

Tidak ramai ibu bapa berfikiran terbuka

KISAH pelajar melahirkan anak dalam tandas, pembuangan bayi dan ramainya remaja mendapat penjagaan di rumah perlindungan adalah bukti generasi muda kita, terutama perempuan, ‘miskin’ dengan ilmu hubungan sosial sehingga mudah terperangkap dengan pujuk rayu teman lelaki yang mahu mengambil kesempatan.  

Perkara ini tidak hanya berlaku pada remaja berpendidikan rendah, malah turut membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi yang dianggap golongan cerdik. Nampaknya masyarakat kita begitu sensitif dengan perkataan `pendidikan seks` sehingga istilahnya terpaksa ditukar untuk mengelakkan tentangan dari ahli masyarakat terutama ibu bapa. Meskipun ibu bapa mulai sedar kepentingan pendidikan seks, ramai tidak bersedia membincangkan topik ini dengan anak.

Sebaliknya mereka lebih memainkan peranan berbincang mengenai isu ini bersama anak remaja berkaitan pendidikan, pergaulan dengan rakan, perbelanjaan dan cara berpakaian. Pada pandangan saya, ibu bapa adalah orang yang terbaik untuk mendidik anak-anak mereka dengan ilmu berkenaan.

Ini kerana selain menerangkan hal yang berkaitan seks, mereka juga menjadi contoh hidup untuk anak-anak tadi. Misalnya, ikatan perkahwinan menghalalkan hubungan seks antara ibu dan bapa; hubungan seks itu pula wujud diiringi dengan nilai cinta, kasih sayang dan rasa tanggungjawab; hubungan intim itu menghasilkan anak-anak yang bukan saja menguatkan kasih sayang antara keduanya tetapi juga yang hadir bersama tanggungjawab-tanggungjawab tertentu dan sebagainya.

Seterusnya, selain memantau tingkah laku anak-anak, ibu bapa juga disarankan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan pendidikan seks. Ramai ibu bapa menganggap pendidikan seks sama dengan perlakuan seks yang akan menggalakkan remaja mencuba seks lebih awal. Anggapan ini salah. Pendidikan seks adalah cara mencegah hubungan seks luar nikah.
Bagi ibu bapa yang merasa tidak selesa untuk membincangkan hal ini dengan anak-anak, belikan mereka buku yang bersesuaian untuk mereka baca dan kemudian bincangkan bersama. Ini kerana ada banyak perkara yang perlu diketahui oleh mereka berkaitan seks dan seksualiti selain cara melakukan hubungan seks.

Misalnya, mereka perlu tahu mengenai risiko penyakit kelamin yang berjangkit akibat dari hubungan seks yang kasual. Mereka juga perlu tahu penderaan seksual dan rogol serta apa yang perlu dilakukan jika perkara ini berlaku kepada mereka. Ramai kanak-kanak yang masih mentah yang tidak tahu mereka dianiaya secara seksual atau dirogol kerana pengetahuan tentang seks ini tidak pernah didedahkan kepada mereka.

Ibu bapa yang tidak tahu cara berkongsi maklumat pendidikan seks dengan anak boleh menghantar anak remaja (lelaki dan perempuan) ke pelbagai program remaja ‘Kafe@Teen’ anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Di sini mereka akan dibekalkan dengan pelbagai kemahiran membabitkan kawalan diri; seksualiti (nilai dan tanggungjawab); tanggungjawab seksual; tingkah laku yang membawa kepada risiko kehamilan; penyakit jangkitan kelamin; rogol, pengguguran dan pembuangan bayi serta kesannya; penahanan diri; kemahiran menolak dan kesejahteraan hidup.

Memandangkan pendidikan seks penting kepada anak-anak terutamanya apabila mencapai tahap akil baligh. Selain ibu bapa memainkan peranan penting kepada anak mereka, pihak sekolah dan masyarakat kita juga perlu mengambil berat mengenai isu ini supaya dapat mengurangkan mereka terjerumus ke kancah yang tidak diingini.

NANCY CHING
Universiti Utara Malaysia. 

Artikel ini dari Berita Harian

No comments:

Post a Comment