Thursday, August 26, 2010

10 Jenis Makanan untuk Kekuatan Minda (6-10)

Ikan
Saintis mengatakan unsur yang diperlukan otak bagi merangsang aktiviti sinaps ialah DHA. Manakala makanan yang kaya dengan sumber DHA ialah ikan, dan yang terbaik daripadanya ialah ikan salmon. Ikan salmon yang berlemak mengandungi asid lemak omega-3-DHA dan EPA yang penting bagi pertumbuhan dan perkembangan fungsi otak.
Kajian juga menunjukkan bahawa orang yang memperoleh asid lemak yang lebih banyak memiliki fikiran lebih tajam dan memberikan hasil memuaskan dalam ujian kecerdasan minda. Menurut pakar pemakanan, walaupun tuna mengandungi zat yang sama, ikan ini tidaklah sekaya zat ikan salmon.

Kekacang
Makanan jenis kekacang adalah istimewa kerana mengandungi tenaga yang berasal daripada protein serta karbohidrat kompleks.

Di samping itu, kacang juga mewah dengan serat, vitamin dan mineral. Sayuran ini merupakan makanan yang sesuai untuk otak kerana tenaga yang disimpan di dalamnya boleh bertahan lama, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.

Kacang tanah atau mentega kacang merupakan salah satu sumber vitamin E yang dapat melindungi membran sel saraf. Dengan kehadiran tiamina juga, vitamin E dapat membantu sistem saraf otak dalam penggunaan glukosa bagi keperluan tenaga. Antara jenis kekacang yang baik untuk minda termasuklah badam, kacang merah, kacang pistasio, kacang soya, gajus dan buah berangan.

Buah-buahan
Buah-buahan elok untuk kulit, kesihatan dalaman serta otak. Buah-buahan segar yang kaya dengan vitamin C digalakkan pengambilannya dalam menu seharian. Antara buah yang baik untuk pemeliharaan kecerdasan otak termasuklah buah delima. Buah delima dikatakan dapat menerangkan hati selama 40 hari. Buah limau dan oren juga disyorkan pengambilannya kerana dapat menguatkan jantung serta akal.

Sementara saintis Barat pula percaya buah strawberi, ceri, beri hitam dan biru adalah yang terbaik untuk daya ingatan. Menurut mereka, semakin terang warna buah itu, semakin banyaklah zat yang terkandung. Buah jenis beri ini mempunyai kadar antioksida yang tinggi dan boleh mengatasi penyakit barah. Biji daripada buah beri pula terkandung asid lemak omega-3 yang sangat baik untuk fungsi saraf otak.

Sayur-sayuran
Sama seperti buah, sayur-sayuran memiliki khasiat yang tinggi untuk kesihatan minda terutamanya jenis berwarna. Tomato, labu, bayam, ubi kentang, dan lobak merah antara jenis sayuran yang mempunyai antioksida yang boleh menguatkan sel otak.

Herba
Makanan daripada jenis herba tidak kurang hebatnya untuk menjaga tahap pemikiran. Kebaikan herba dalam dunia kesihatan tidak boleh disangkal. Halia yang mujarab untuk membuang angin dalam badan rupa-rupanya boleh membantu mencegah penyakit lupa. Selain dimakan mentah, halia boleh dibuat halwa sebagai pencuci mulut.

Contohnya bunga cengkih, kemenyan putih adalah antara kelas herba yang mempunyai khasiat tersendiri untuk kekuatan ingatan dan pemikiran.


Maklumat yang berkenaan:

No comments:

Post a Comment