Thursday, August 19, 2010

Mati Otak & Pendermaan Organ (2)

PERSOALAN MENGENAI MATI OTAK DAN PENDERMAAN ORGAN

1.    Saya diberitahu oleh pakar perubatan bahawa ahli keluarga saya mengalami mati otak. Dengan segela peralatan sokongan diberikan, bagaimanakah pakar perubatan mengatakan bahawa ahli keluarga saya itu benar-benar telah meninggal dunia?
Pakar perubatan akan menjalankan ujian-ujian tertentu untuk menjelaskan bahawa pesakit benar-benar telah meninggal dunia.
Seseorang pesakit itu dikatakan telah meninggal dunia apabila:
  • Tidak boleh bernafas tanpa adanya alat bantuan pernafasan (ventilator);
  • Anak mata tidak memberikan sebarang tindak balas kepada cahaya;
  • Tiada tindak balas kepada kesakitan;
  • Tiada tindak balas kepada batang otak (brainsterm reflexes); dan
  • Ujian juga akan menunjukkan tidak ada pengedaran darah ke otak.
2.    Saya difahamkan apabila individu itu meninggal dunia, jantungnya berhenti berdenyut. Sekiranya ahli keluarga saya mengalami otak mati, kenapa jantungnya masih berdenyut?
Jantung sebenarnya mempunyai pacemaker tersendiri daripada otak. Jantung akan berdenyut selagi mendapat oksigen. Jantung ini boleh dikeluarkan daripada badan dan diletakkan dalam larutan tertentu serta diberikan oksigen untuk terus berdenyut. Sehubungan ini selepasa mati otak, jantung boleh berdenyut buat beberapa waktu, tetapi akan berhenti tidak lama selepas itu walaupun dengan bantuan yang maksimum.
3.    Adakah dengan menghentikan alat bantuan respiratori boleh menjadi penyebab kepada kematian ahli keluarga saya itu serta tidak memberinya peluang untuk meneruskan kehidupan?
Apabila pesakit disahkan mati otak, dia sebenarnya telah meninggal dunia. Otaknya tidak berfungsi lagi. Oleh kerana pesakit telah meninggal dunia, tindakan menghentikan bantuan respiratori tidak merupakan penyebab kematian. Bantuan respiratori hanya membuatkan jantung pesakit berdenyut untuk seketika tetapi jantung itu akan tetap juga berhenti walaupun dengan semua bantuan yang diberikan.
4.    Adakah rawatan ke atas saya diabaikan sekiranya diketahui saya telah mendaftar sebagai penderma organ?
Tidak. Semua pesakit akan diberikan rawatan dan perhatian yang sewajarnya tanpa mengira sama ada anda telah mendaftar sebagai penderma organ atau tidak. Pegawai perubatan akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang perlu untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu hanya akan dibincangkan dengan waris selepas kematian telah disahkan.
(maklumat di atas diperolehi dari brochure "Mati Otak & Pendermaan Organ" yang diterbit oleh Kementerian Kesihatan Malaysia)

Maklumat-maklumat dan link yang ditunjukkan di ScienceRunchang hanya untuk rujukan, maklumat selanjutnya sila merujuk kepada atau menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Info ScienceRunchang
1.    Maklumat yang berkenaan – Apakah yang dikatakan mati otak? Sila baca Mati Otak Dan Pendermaan Organ (1) dan Mati Otak Dan Pendermaan Organ (3)

No comments:

Post a Comment